Hari yang indah.
Awan-awan memutih dilangit, bersemangat melindungi bumi dari terik matahari. Angin
yang bertiup menyenangkan lagi suasana. Sesekali terdengar desiran daun – daun dari
pokok – pokok disepanjang padang kawat itu. Semangat alam sama seperti semangat
yang meliar dalam jiwa – jiwa muda yang ada di situ.
Keterujaan tumbuh dalam diri, masing – masing penuh
semangat untuk memulakan hidup baru sebagai pelajar universiti. Ibu bapa tak
lekang dengan senyuman, bangga anak kesayangan mereka berjaya melangkah ke
universiti terbaik di Malaysia. Senior – senior kolej menyambut mesra junior
mereka, ramah menunjuk arah dan ada juga yang membantu mengangkat bag – bag
besar.
Ain Zalikha berjalan perlahan ke kawasan pelajar baru dan
ibu bapa berkumpul. Bunyi roda beg bergesel dengan jalan tar menyedarkan orang
– orang akan kewujudannya di situ. Tanpa
ditemani sesiapa dia berjalan dengan yakin. Padahal, rasa gugup dalam hati
hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dengan kasut kulit bertutup dari Marie Claire,
dia melangkah laju tetapi cukup tersusun. Takut tersadung dengan kain baju
kurung kapas motif bunga kecil yang dipakainya.
“ Assalamualaikum, adik kolej mana ya?” Ain berhenti dan berpaling
ke arah suara yang menyapanya. Seorang pemuda berkaca mata bingkai separuh
berdiri tersenyum memandangnya. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek,
sederhana tingginya. Berambut pendek kemas, memakai kemeja-T dengan lambang
permata di bahagian kiri dadanya. Dia memegang satu roll kertas seperti
manila kad.
“Waalaikum salam, KOSASS,” balas Ain ringkas. KOSASS
ataupun lebih dikenali sebagai Kolej Sultan Alaiddin Suleiman Shah.
“Oh awak junior sayalah ni. Saya pun dari KOSASS juga.
Nama saya Hafiz, tahun 3, teknologi makanan, Awak?” pemuda tadi memperkenalkan
diri.
“Ain,” balas Ain dan ingin cepat – cepat menuju ke bas
yang disediakan.
“ Bagi saya tolong bawa bag awak,” pelawa Hafiz. Matanya
diajukan ke arah bag beroda berkapasiti 30 kilo di tangan kanan Ain.
“Tak mengapa, terima kasih,” Ain berlalu menuju ke arah
bas kedua. Dia nampak ada tag ‘KOSASS’ di cermin hadapan bas.
Ain terus ke tempat meletak barang – barang. Belum sempat
dia mengangkat bagnya, tiba-tiba ada orang membantunya mengangkat ke dalam bas.
Orang itu adalah Hafiz, senior yang dia tolak pelawaannya tadi.
“Terima kasih,” ucap Ain. Orang berbudi kita berbahasa.
“Sama-sama,” balas Hafiz sambil tersenyum.
Ain duduk di barisan ke tiga didalam bas. Dalam 10 minit
bas sudah penuh dengan pelajar baru dan ibu bapa. Bas sudah bergerak perlahan
ke destinasi. Ain pandang ke kiri, dia melihat kolej – kolej yang dilalui. Di
kanan tak ada yang menarik selain padang yang luas terbentang dan juga bangunan
lama yang dilitupi semak samun.
Bas berhenti di atas bukit. Seorang – seorang turun dari
bas. Ain masih duduk dikerusi bas, membiarkan dirinya yang terakhir turun. Dari
tingkap dia melihat kolej yang bakal menjadi rumah keduanya. Interpretasi
awalnya mengatakan bahawa KOSASS adalah kolej lama. Jadi mungkin benar dengan
cerita – cerita di blog tentang tradisi di kolej ini. ‘Ahh relevan lagikah nak
amalkan tradisi zaman sekarang ni?’ bisik Ain dalam hati.
Turun sahaja dari bas, Ain lihat Hafiz sedang berdiri
memegang begnya. Cepat – cepat dia ke tempat Hafiz berdiri. Ain menghulur
tangan untuk mengambil begnya kembali.
“Tak apa, saya bawakan,” kata Hafiz dan berjalan menuruni
jalan bertar.
Ain membontoti dari belakang. Malas mahu berkeras. Turun
bukit membawa beg besar seberat 30 kilo bukan tugas mudah. Dengan berbaju
kurung dan bertumit 2 inci, nanti tak pasal – pasal terbongkang tengah jalan.
Jadi bahan tujuh generasi nanti.
“Ain naik dewan daftar kolej dulu, saya tolong jagakan
beg Ain kat bawah,” arah Hafiz. Ain mengangguk dan naik ke dewan dengan membawa
satu fail yang penuh dengan borang – borang dan salinan – salinan yang
berkaitan.
“Ini kunci awak, bilik 3013, blok seladang, bangunan
depan ni je,” kata petugas sambil tangannya menunjuk ke bangunan hadapan.
Dengan jelas Ain dapat melihat perkataan ‘SELADANG’ di bahagian paling atas dan
hujung bangunan. ‘Seladang? Binatang apa tu?’ bisik Ain dalam hati.
“Semua ok? Dapat bilik mana?” soal Hafiz sebaik sahaja
Ain sampai ke tempatnya.
Ain mengangguk, “ ok, saya dapat bilik 3013, blok
seladang,” jawab Ain.
“Oh depan ni je, jom lah saya hantarkan beg awak ke
bilik,” kata Hafiz.
‘eh dia ni dah macam chauffeur aku pula dah’ Ain
bermonolog dalam hati. Tapi dianggukkan sahaja. Hafiz menyeret beg beroda itu
dan Ain mengikutnya dari belakang sehingga mereka tiba di hadapan bilik. Di
pintu jelas tertulis ‘Bilik 3016’.
Bersambung....
No comments:
Post a Comment