Thursday, September 11, 2014

Layanan Kelas Pertama!




Assalamualaikum dan Salam sejahtera.



Kadang-kadang apa yang kita harapkan tak seperti apa yang kita gambarkan. Situasi hari ini sesuatu yang tak pernah dibayangkan terjadi. Marah, sedih, kecewa berlaga-laga dalam kepala.  Satu kelakuan yang tak boleh diterima dek akal. Fikirnya bila sekelas bersama dapatlah merapatkan ukhuwah antara kami. Bertukar idea dan berkongsi ilmu-ilmu yang mereka ada. Mmmpph teruja jugalah bunyinya kan. 



Tapi itu harapan saja lah. Apa yang kami dapat adalah layanan kelas pertama (sebaliknya) dari mereka. Hak kami untuk duduk bersama dalam kelas tersebut tidak diakui sama sekali. Kami tak harap pun layanan tuan puteri diberikan kepada kami. Langsung tidak. Kalaupun tidak bertegur sapa dengan kami pun kami biasa saja. Tapi bila semangat majoriti menular dalam diri, hak kami sebagai golongan minoriti mula diinjak sesuka hati. 



Kalaupun cadangan untuk menyingkirkan kami datangnya dari orang yang kami hormati, orang yang kami berharap akan ilmunya. Tapi patutkah memberi respon sebegitu rupa? Satu tindakan yang keterlaluan. Berusaha menyingkir kami dengan cara yang sangat tidak terhormat. Kami bukan menyibuk bahkan bukan merempat sama sekali. Kami hanya mahu belajar. 



Selama ini kami berkongsi kelas dengan pelajar lain juga tapi bukan sebegini yang kami terima. Bahkan kami juga selalunya menjadi majoriti dalam satu satu kelas. tapi tidak pula kami memberi layanan yang buruk pada mereka. Kami biar mereka belajar bersama. Biar mereka duduk dengan selesa. Sikit pun kami tidak mempertikaikan kewujudan mereka dalam kelas kami. Kami terima sesiapa yang mahu belajar bersama. Konsep dasar terbuka memang sudah lama kami amalkan. Dari tahun satu lagi.



Tak pernah sekali kami memilih bulu. Pada kami, kalau sudah berjaya daftar dalam smp seseorang itu berhak untuk duduk dengan selesa. Tak kisah dari fakulti mana, jurusan apa, tahun berapa, semua tu tak pernah kami kira. Adapun cadangan untuk mereka gugur kursus tersebut, kami tidaklah bersorak sampai bernanah telinga. 



Belajar menerima orang lain. Bukan hanya duduk bawah sekutu sendiri sahaja. Seharusnya gelaran yang dipegang tidak dicemari dengan sikap yang sangat tidak bertauladan sebegini.  Apatah lagi bagi mereka yang mempunyai atau pernah memikul jawatan tinggi. Tunjukkan kami kredibiliti bukannya emosi yang kau ada. 



Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana emosi segelintir mereka yang lain terasa tempiasnya. Komen maaf datangnya dari mereka yang tidak terlibat langsung. Berusaha menjernihkan suasana. Kelambu kau sudah dibakar tak perlu membela mereka lagi. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata terimalah padahnya. 



Entri ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan sesiapa malah lebih kepada peringatan untuk diri ini dan semua. Sebagai seorang manusia seharusnya kau tahu dimana letaknya kelakuan dan tingkah laku diri. Ditahap yang paling tinggi atau ditahap paling bawah sekali.




Hak kami akan kami pertahankan selagi tidak bercanggah dengan mana-mana peraturan fakulti, universiti atau dunia sekali. 



Salam semua...